SIAPAKAH yang
lebih berkaliber menjadi ketua, lelaki atau wanita? Jika ditanya kepada setiap individu pasti jawapan
diberikan mereka berbeza-beza. Ada yang selesa bekerja di bawah ketua lelaki
kerana andaian lelaki lebih tegas dan tidak beremosi malah ada juga memberikan
pendapat sebaliknya.
Ada sesetengah wanita berpendapat kaum lelaki lebih layak
memegang jawatan lebih tinggi berbanding mereka dan mereka tidak mempunyai
masalah untuk mendengar arahan daripada kaum lelaki. Pada April 2010, satu kaji
selidik Dartmouth dijalankan oleh pelajar jurusan sarjana mengenai Strategi
Untuk Wanita Melayari Landskap Korporat Baru mendapati, 90 peratus pelajar
wanita mengakui suka bekerja di bawah pengurus lelaki. Malah, uji kaji yang
dijalankan ForbesWoman di facebook dan LinkedIn juga menunjukkan keputusan yang
sama.
Sungguhpun ada
perlembagaan yang melarang perbuatan diskriminasi tetapi perbuatan ini masih
diamalkan. Pada dasarnya, kesaksamaan hak dan peluang wanita di
negara ini masih pada tahap rendah. Mengikut Perkara 8 (2) Perlembagaan
Persekutuan pada 2001 menetapkan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap
mana-mana warga negara berasaskan gender. Semua pihak perlu memahami maksud
kesaksamaan gender adalah memastikan kepentingan, keperluan dan keutamaan wanita
dan lelaki diambil kira dan kepelbagaiannya diiktiraf serta dihormati.
Isu segregrasi pekerjaan
berdasarkan gender di Malaysia masih lagi berada pada tahap yang kurang
memuaskan. Kedudukan Malaysia dari segi kesaksamaan gender khususnya hak asasi
manusia dan peluang pelbagai bidang dalam ranking indeks peringkat antarabangsa
jauh ke belakang malahan semakin merosot, iaitu pada kedudukan 101 di kalangan
134 negara berbanding 92 (2007) dan 72 (2008). Indeks kesaksamaan hak dan
peluang di Malaysia juga lebih rendah berbanding negara Asia lain contohnya
Filipina pada kedudukan keenam, Sri Lanka (15) dan Vietnam (41).
Langkah
kerajaan mengumumkan supaya 30 peratus daripada jawatan korporat terpenting
harus dipegang wanita bagi mencapai kesaksamaan gender 2016 adalah satu
cadangan yang harus dipuji bagi mengurangkan jurang perbezaan jantina dalam
syarikat. Walaubagaimanapun cadangan ini kurang dipersetujui oleh Dr George Lee
Eng Geap iaitu pensyarah dan pakar urologi Universiti Monash Sunway.
"sewajarnya kedudukan teratas dalam syarikat perlu diberi kepada individu
berdasarkan merit dan bukannya gender. Selain itu media juga tidak harus
memaparkan pencapaian wanita sebagai sesuatu yang luar biasa kerana akan
menampakkan pencapaian mereka lebih rendah daripada lelaki. Sama seperti sistem
kuota dalam dunia pekerjaan atau pendidikan"
![]() |
Dr George Lee Eng Geap |
“Wanita
sama dengan lelaki dalam dunia pekerjaan”. Saya tidak faham mengapa perlu ada
mana-mana kuota yang diberikan kepada mana-mana jantina, sekiranya mereka mampu
melakukan tugas dengan baik, seharusnya jawatan itu diberikan kepada individu
itu,” katanya yang berharap diskriminasi gender di tempat kerja tidak lagi
dipakai pada hari ini.
Sungguhpun
begitu, terdapat juga situasi di mana golongan lelaki yang tidak bekerja dan
golongan perempuan yang keluar mencari nafkah untuk keluarga. Dr George yang
berasal dari Kelantan memberitahu, ianya perkara biasa melihat wanita Kelantan
bekerja dan menjadi ketua keluarga manakala lelaki bermain wau atau terbabit
dengan aktiviti dikir barat dan pada masa sama menjaga anak.
“Ini
tidak bermakna lelaki Kelantan malas, tetapi ia lebih kepada budaya yang boleh
diterima masyarakat apabila wanita keluar mencari wang. Tiada isu mengenai
wanita sebagai ketua,” katanya yang mengakui wanita Kelantan mempunyai
ciri-ciri pengendali wang yang baik serta mempunyai sikap positif dalam
pekerjaan.
Statistik
daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, menunjukkan kira-kira 65 peratus atau
26,200 daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama
di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada 2009 adalah wanita. Sungguhpun
begitu kenapa golongan lelaki masih menjadi pilihan untuk memegang jawatan
tinggi?
Menurut
Datin Dr Low Pek See Pakar Perunding Kanak-kanak, beliau menyatakan dalam hal
tertentu lelaki lebih baik menjadi ketua berbanding wanita. “Saya akui wanita
adalah pelaksana tugas yang baik sama ada di rumah mahupun di pejabat. Namun
tugas utama seharusnya diberikan kepada lelaki kerana mereka sangat fokus
melakukan kerja. Sebaliknya, wanita sering dibimbangi dengan masalah rumah
tangga seperti anak, suami serta tugas di rumah. Jadi dengan begitu banyak
komitmen dikhuatiri mereka tidak mampu memberikan 100 peratus tumpuan di tempat
kerja," katanya.
“Namun
sekiranya wanita diberi peluang dan bantuan untuk menguruskan kehidupan
peribadi, mendapat sokongan keluarga serta mewujudkan persekitaran yang
kondusif untuk wanita di tempat kerja, tidak mustahil mereka boleh menjadi
pemimpin yang baik. Ini kerana mereka bukan hanya menjalankan kerja di rumah
tetapi menjadi ibu dan ketua yang berkesan di tempat kerja,”
![]() |
Wan Hasmah Wan Mohamad |
Ketua
Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Wan Hasmah Wan Mohamad menyatakan, “Tidak
mungkin sesebuah negara mampu mencapai kemajuan sekiranya wujud ketidakadilan
atau ketidakseimbangan sosial khususnya antara wanita dan lelaki. Wanita
membentuk separuh daripada kekuatan negara. Pada 2008, sebanyak 49 peratus
penduduk Malaysia adalah wanita,” katanya.
Kesimpulannya
disini, diskriminasi gender dalam peluang pekerjaan tidak seharusnya berlaku
jika pemilihan pekerja adalah berdasarkan kemahiran, pengalaman dan kelayakan.
Jika tiga perkara ini diamalkan, maka situasi diskriminasi dalam peluang
pekerjaan tidak akan timbul.
Rujukan:
Nur Aina Rambelan
No comments:
Post a Comment