Saturday 24 November 2012

Seksualiti Merdeka


Menyentuh mengenai gender, terdapat dua jenis gender iaitu maskulin dan feminin dimana maskulin ialah tingkah laku dan penampilan yang bersifat lelaki seperti gagah dan kuat manakala feminin ialah tingkah laku dan penampilan yang bersifat perempuan seperti lemah lembut. Apabila menyebut mengenai seksualiti pula, secara automatik terdapat satu jenis seksual dalam kalangan masyarakat, iaitu heteroseksual-tertarik kepada seks yang berbeza. Secara langsungnya, masyarakat telah mengabaikan pihak yang tidak tergolong dalam kategori tersebut, iaitu golongan minoriti seperti Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT).

Pemikiran masyarakat terhadap gender telah dibina melalui norma dan budaya secara turun-temurun. Secara amnya, lelaki dan perempuan perlu melakukan pekara yang sepatutnya dan berkelakuan sepatutnya. Jika individu tersebut gagal menjalankan norma sedia ada, maka, individu tersebut dianggap ganjil dan ianya dilihat sebagai salahlaku. Walaupun kini masyarakat tinggal dalam era moden dan canggih, pemikiran yang dibina dari dulu sehingga sekarang tidak berubah dengan drastik. Masyarakat masih menganggap LGBT adalah sesuatu yang salah dan bertentangan kepada agama.



Di Malaysia, terdapat komuniti yang aktif dalam mempertahankan golongan LGBT dengan menyatakan mereka bebas menjadi apa yang mereka inginkan, iaitu kepelbagaian orientasi seksual dan identiti gender yang ada dalam negara.

Akan Tetapi, Adakah Ia Satu Komuniti Yang Haram Atau Sah Di Malaysia?


Komuniti Seksualiti Merdeka ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Pang Khee Teik dan Jerome Kugan. Komuniti ini mempertahankan hak LGBT dengan mengutamakan pandangan mereka disebarkan dengan pemaparan program seperti ceramah, kuliah, forum, bengkel, persembahan teater dan muzik, interaktif dengan orang ramai dan tayangan filem. Oleh itu, sejak tahun 2008, program-program yang diadakan dianggap sebagai pesta tahunan.
Akan tetapi sejak tahun 2011, Pesta Seksualiti Merdeka terpaksa dihentikan. Hal ini disebabkan kerajaan mendakwa bahawa ia mempromosikan hubungan sejenis, berikutan kebimbangan dan rasa kurang senang pelbagai pihak.


“Pada 1 Mac 2012, Mahkamah Tinggi telah menolak kebenaran permohonan oleh komuniti seksualiti merdeka menjalankan pesta tahunan mereka. Pesta ini telah diharamkan di bawah seksyan 27A (1) (c), Akta Polis. Seksyen ini membenarkan polis untuk menghentikan sebarang aktiviti di tempat awam dengan mengeluarkan satu kenyataan “kemungkinan mengancam kepentingan dan keselamatan negara atau membangkit dan mengacau keamanan negara.”

Mengapa Dari Dulu Tidak Mengharamkan Pesta Ini Tetapi Selepas 3 Tahun Dianjurkan Baru Diharamkan?

Di sini, media dan teknologi memainkan peranan yang penting dalam mentafsirkan maksud dan tujuan komuniti ini.
Media tidak membuat analisis yang mendalam untuk memahami tujuan sebenar seksualiti merdeka. Mereka menggunakan pandangan stereotaip dalam menggambarkan seksualiti merdeka. Stereotaip ini mengabaikan isu penting dalam seksualiti merdeka. Selepas pengharaman kerajaan terhadap pesta ini, media memperhangatkan isu ini dengan laporan berita yang menggunakan ayat negatif, seperti dalam pelaporan Berita Harian pada 3 November 2011 “Seksualiti Merdeka 2011 yang mempromosikan program mereka melalui laman web www.seksualitimerdeka.org, kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan terbabit supaya diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.” Perkataan “kononnya” seolah-olah mempunyai pandangan negatif terhadap komuniti ini dan tidak mempercaya terhadap apa yang dipertahan oleh komuniti tersebut.

Selain itu, Buletin Utama dari TV3 pada 3 November 2011 juga melapor tentang pesta seksualiti merdeka 
sebagai “Pesta Seks Songsang” dan hal ini memberi fakta yang salah kepada masyarakat dan membawa impak yang besar terhadap pemikiran masyarakat kepada golongan minoriti LGBT.



Teknologi sekarang menyebabkan masyarakat mudah mengakses kepada maklumat dan informasi. Akan tetapi, adakah maklumat tersebut benar dan boleh dipercayai? Teknologi bukan sahaja memudahkan kehidupan malah menjadi satu landasan penyebaran maklumat sama ada benar atau palsu. Seperti apa yang dilaporkan oleh media, banyak maklumat berunsur negatif terhadap seksualiti merdeka. Walaupun masyarakat mempunyai pemikiran dan tanggapan sendiri terhadap seksualiti merdeka, mereka masih tidak dapat menerima budaya baru ini. 
Salah seorang pengasas seksualiti merdeka, Pang Khee Teik memberitahu akhbar The Sun, motif mereka bukan untuk menggalakkan homoseksualiti tetapi ia adalah satu peluang kepada masyarakat untuk mendengar suara mereka dan juga mengendali salah faham orang ramai terhadap mereka.

Apa Salahnya Mempertahankan Hak Seseorang? Bukankah Semua Orang Menpunyai Hak Sama Rata?


Menurut Barat, banyak isu tentang LGBT dan sering kali mereka bebas menyuarakan hati mereka. Bagi Amerika Syarikat, terdapat satu komuniti iaitu“National Coalition for Sexual Freedom (NCSF)”  yang juga mempertahankan kebebasan, hak dan privasi seseorang. Selain itu, terdapat banyak negara telah menerima dan menghalalkan perkahwinan kaum sejenis seperti Kanada, Sepanyol dan Portugal. Teknologi sekarang juga memudahkan LGBT untuk hidup secara normal seperti kelahiran anak oleh pasangan lesbian dengan membeli sperma dari bank sperma.
Malangnya, pihak kerajaan dan media di Malaysia tidak memahami situasi golongan minoriti ini dan membuat pelaporan dan melihat dari sudut yang negatif terhadap pesta seksualiti merdeka. Secara tidak langsung ia mempengaruhi tanggapan orang ramai terhadap LGBT adalah sesuatu yang salah dan tidak patut melakukannya.


Ng Siow Ee

No comments:

Post a Comment